SELAMAT DATANG

BLOG INI MERUPAKAN SALAH SATU LAMAN UNTUK GBKSR PERLIS MENDAPAT MAKLUMAT DAN INFO TERKINI BERKAITAN B&K. SAMA-SAMALAH KITA MEMPERKASAKAN B&K SEKOLAH RENDAH PERLIS...

UKHWAH yang dibina ANTARA KITA ini, biarlah seperti SEUTAS TASBIH. ADA AWAL tetapi TIADA PENGHUJUNGNYA. DICIPTA untuk MENGINGATI ALLAH. DIBAHAGI untuk CINTANYA. DIRATIB demi REDHA ALLAH...~

salam kasihsyg

ADMIN

Maklumat Terkini

......SILA KEMASKINI alamat email ANDA...TOLONG HANTAR ALAMAT e-mail TERBARU KE gbksrperlis@gmail.com.................TERIMA KASIH...

PERLUKAN PENCERAMAH UNTUK PROGRAM DI SEKOLAH ANDA.........?????

Antara yang boleh dihubungi :
1. NORAINI BT SAAD (019 5592672)
2. MD.IDRUS B OMAR (012 4305850)
3. MOHD.NAZRI B BAHARIN (013 4236200)
4. MUSTAFA B CHE CHAN (019 4988939)
5. ROZLINDA BT ABD.RAHMAN (012 4081487)
6. ROHANA BT MAT (014 2523050)
7. SARINA BT HASHIM (019 4341221)
8. SAIPUL BAHRI B BANIYAMIN (019 4780509)
9. NOR ZAITUN BT IBRAHIM (0194456010)
10.RASAIDI B CHE YOB (019 5586769)
11.AZRIN B JAYA (012 5586556)
12.ABD.HALIM B MT AKHIR (013 4358100)

PERSONALITI KAUNSELOR

PERSONALITI KAUNSELOR
MESRA

Sifat mesra kaunselor akan menyebabkan klien tidak kekok bercakap, relaks, selesa dan diterima oleh klien.

JUJUR

Kaunselor yang tidak berpura-pura dalam perhubungan dengan klien bersifat natural, terbuka, spontan, tidak defensive dan konsisten. Dapat berkongsi aksi dan reaksi dari segi mental dan emosi.

TERIMA TANPA SYARAT

Ciri-ciri ini menunjukkan bahawa kaunselor perlu menerima diri klien yang sebenarnya.Kaunselor perlu melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik, Perlu berfikiran yang terbuka dan perlu mengelakkan diri daripada berpandangan negetif terhadap kliennya.

BEREMPATI

Ia merujuk kepada kebolehan kaunselor untuk memasuki ruang rujuk dan dunia klien dan membenarkan dirinya mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien sambil memahami dan menghayati pengertian daripada proses ini.

KAUNSELOR ADALAH SEORANG:

• sanggup mendengar semua persoalan anda • menerima tanpa syarat • menerima dan merahsiakan apa yang anda katakan • menghormati diri anda sebagai seorang individu


BAGAIMANA MENGHILANGKAN MARAH

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair "Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu
melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu keranawudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insha Allah kemarahan akan mulai reda.

Dengan cara demikian, seperti ulasan saudara fansuri, keegoan akan berkurangan. Tetapi apa yang berlaku, apabila naik marah, yang bersandar akan mula menetapkan duduknya dan seterusnya berdiri, maka kemarahan sudah tidak dapat dikawal.


Marah ertinya gerakan nafsu diri, seketika meluap darah jantung dari suruhan syahwat utk mempertahankan diri dan utk melepaskan dendam. Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya. Bila kemarahan telah timbul tidak ditahan dgn fikiran dan akal sebelum dia menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yg membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak, sehingga gelap menyelubungi hati sehingga tidak sanggup berfikir. Menyelimuti seluruh urat saraf, penglihatan nampak kecil bila memandang orang, ketika itu pertimbangan hilang, akal tertutup, fikir tersentak, angan-angan habis.

Orang yg marah adalah laksana gua batu yg terbakar api terkurung di dalamnya dan angin masuk juga mengipasnya sehinggalah terkumpullah di dalam gua asap dan wap yang menambahkan panas.. Kedengaran api memakan kelilingnya habis menjadi bara Meskipun diusahakan menyiram.. maka air penyiram itu akhirnya akan menjadi minyak tanah menambah kerasnya api.

berbanyak-kanlah.. beristighfar itulah senjata orang2 mukmin.

CARILAH SAHABAT DUNIA & AKHIRAT


PENYESUAIAN DIRI

PENYESUAIAN DIRI
Pengenalan

Sebagai seorang manusia biasa, sememangnya kita tidak dapat lari daripada orang-orang di sekeliling kita. Sama ada orang-orang itu mempunyai hubungan dengan kita atau pun tidak, pasti ianya memberi makna dalam kehidupan kita. Adalah menjadi suatu yang agak sukar bila kita hidup sendirian tanpa orang lain di sekeliling kita. Perkara yang mudah akan menjadi susah kerana kehidupan kita yang mungkin akan digelar “kera sumbang” sedikit sebanyak pasti akan mempengaruhi kehidupan seharian kita nanti. Mungkin sesetengah orang amat selesa dengan cara hidup yang sedemikian tetapi ada ketikanya mereka amat memerlukan orang lain untuk membantu mereka dalam beberapa perkara.

Latar Belakang Klien

Klien lebih senang dikenali dengan nama Alin (bukan nama sebenar), berumur 13 tahun dan berbangsa Melayu. Mempunyai hobi melukis jika ada masa lapang dan membaca buku cerita. Klien merupakan anak yang ke empat daripada lima orang adik beradik. Bapanya bekerja sebagai Pembantu Am Rendah manakala ibunya hanya sebagai surirumah sepenuh masa yang membantu keluarga dengan membuat kuih muih dan menjualnya setiap pagi. Kini klien menetap di asrama dan pulang ke rumah ibu bapanya setiap bulan di Teluk Intan, Perak.

Klien merupakan seorang pelajar yang sederhana dalam akademik dan diterima masuk ke sekolah ini setelah mendapat 4A 1B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Mempunyai cita-cita yang tinggi untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan PMRnya nanti bagi menandingi abangnya. Klien mempunyai sedikit masalah dengan rakan-rakannya yang menyebabkan kebanyakan rakan-rakannya menjauhkan diri daripadanya. Mempunyai kawan baik tetapi tinggal sekampung dengannya. Di sekolah ini, klien tidak mempunyai kawan baik.

Sepanjang sesi, dapat dilihat bahawa penerapan agama dalam diri klien adalah baik kerana sepanjang sesi juga klien ada menyebut akan unsur-unsur agama dalam butir bicaranya. Ibu bapanya juga kelihatan memberi didikan yang baik dalam agama. Klien boleh dikategorikan sebagai seorang pelajar yang sederhana besar. Berat badannya 47 kg. Namun begitu, klien mempunyai masalah migrain yang menyerangnya agak teruk dan kerap hingga ada di antara rakan-rakannya yang bosan dengan migrainnya itu.

LATAR BELAKANG MASALAH

Klasifikasi Kes dan Isu

Klien hadir secara sukarela untuk bertemu dengan kaunselor dengan isu yang dibawanya iaitu perasaan rendah diri kerana kekurangan kawan yang agak menyukarkan klien untuk bersama-sama seharian termasuklah untuk klien bertanya dan berbincang tentang sebarang masalah berkenaan pelajaran.

Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai kes psikososial.

PROSES INTERVENSI

Model dan Pendekatan

Bagi kes ini pendekatan Terapi Realiti digunakan di mana terapi ini telah diutarakan oleh William Glasser di mana terapi ini kaunselor bertindak secara aktif, mengarah, didaktik dan kognitif. Di samping itu, ia juga mengikat kontrak dengan klien di dalam usaha klien untuk mengubah tingkah lakunya. Dalam terapi ini, ia langsung tidak memperdulikan peristiwa-peristiwa masa lampau dan tidak juga memberi perhatian atau fokus kepada sikap, celik akal ataupun motivasi-motivasi tidak sedar.

Menurut Amir Awang (1989), terapis realiti yakin yang kliennya mempunyai keupayaan-keupayaan tertentu untuk melakukan sesuatu pada masa kini bagi mengubah tingkah lakunya. Terapis juga yakin tentang adanya komitmen di dalam diri klien untuk mengubah, untuk merancangkan rancangan-rancangan tindakan dan seterusnya untuk melakukan tindakan-tindakan yang dirancangkan itu.

Terapi realiti mempercayai bahawa setiap individu, biar apa sekali pun latar kebudayaannya, mempunyai satu keperluan pokok iaitu keperluan untuk mempunyai identiti. Identiti yang dipunyai oleh seseorang itu berbeza dengan identiti yang dipunyai oleh orang lain, dan perbezaan-perbezaan ini dapat dilihat dari segi tingkah laku, perasaan, pemikiran, destini dan lain-lain lagi.

Walaupun wujud perbezaan-perbezaan seperti dinyatakan, namun bagi terapi realiti, kita boleh menggolongkan identiti ini kepada dua golongan iaitu:
- identiti berjaya
- identiti gagal

Semua orang akan tergolong ke dalam salah satu daripada dua golongan ini.
Sungguhpun begitu, semua orang akan berusaha ke arah mencapai identiti berjaya kerana ia memberikan rasa kepuasan dan keselesaan manakala identiti gagal akan membawa perasaan-perasaan yang tidak enak, dan yang menyakitkan.

Identiti berjaya atau identiti gagal ini terhasil melalui tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan yang dibuat sendiri oleh individu yang berkenaan. Oleh yang demikian, dia sendirilah yang mempunyai segala keupayaan untuk mengubah identitinya dan untuk mengubah identitinya, ia hendaklah mengubah tingkah lakunya.

Di samping kepercayaan atau andaian itu, terapi realiti juga yakin bahawa di dalam diri setiap individu itu terdapat ‘tenaga untuk berkembang’. Tenaga inilah yang akan sentiasa mendorong individu untuk berfikir, merasa dan bertindak dengan cara-cara tertentu yang akhirnya akan membawa kepada identiti berjaya atau identiti gagal.

Masalah penyesuaian yang dihadapi oleh individu itu timbul dari kegagalan individu untuk memenuhi keperluan-keperluannya. Tanda-tanda kegagalan ini menjelma di dalam, berbagai bentuk. Tanda-tanda ini akan luput bila sahaja individu berjaya memenuhi keperluan-keperluannya.

Mengenalpasti Masalah

Masalah utama yang dihadapi oleh klien ialah tentang penyesuaian dirinya terhadap persekitarannya. Klien yang pertama kali tinggal di asrama merasakan dirinya tidak diterima oleh rakan-rakan lain kerana kekurangan yang ada pada dirinya. Klien merasa rendah diri bila dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Klien merasakan saiz tubuh badannya yang agak kecil itu mempengaruhi sikap rakan-rakan terhadap dirinya apatah lagi ada di antara mereka yang menegur akan badan klien yang berbau. Ini antara penyebab klien akan mengasingkan diri dan kurang bergaul dengan rakan-rakan yang lain.

Klien telah mencipta identiti gagalnya dengan membentuk tingkah laku yang berupa pengasingan. Apa yang dikatakan oleh rakan-rakan tidak diterimanya dengan positif tetapi menganggap ianya sebagai satu cercaan dan penghinaan dan ini menyebabkan klien berasa sangat rendah diri. Pengasingan ini adalah tindakan dan keputusan yang dipilih oleh klien dan kini masalah mula timbul apabila klien tidak mempunyai sesiapa sebagai tempat untuk berbincang tentang pelajaran mahupun masalahnya. Keadaan dirinya menyebabkan klien malu untuk memulakan sebarang persahabatan.

Masalah yang timbul akibat pengasingan inilah yang menyebabkan ‘tenaga untuk berkembang’ klien mula terbentuk. Tenaga inilah yang mendorong individu untuk berfikir, merasa dan bertindak dengan cara yang dipilih klien yang akhirnya membawa kepada identiti gagal klien. Emosi klien kini terganggu adalah hasil daripada tingkah laku yang tidak sesuai atau tidak kena.

Penetapan Matlamat

Menurut Sabariah Siron (2005), apabila identiti gagal klien telah dikenal pasti, kaunselor perlu membina semula konsep dalam identiti gagal klien agar identiti berjaya dapat dibentuk. Ini adalah sangat penting kerana seseorang yang mempunyai identiti kejayaan dapat melihat diri mereka boleh memberi dan menerima kasih sayang, merasa mereka adalah signifikan kepada orang lain, merasa berkuasa, mempunyai perasaan diri yang berguna, memenuhi kehendak diri tanpa mengganggu orang lain.

Terapi realiti menekankan konsep tanggungjawab yang didefiniskan sebagai tingkah laku untuk memenuhi keperluan seseorang tanpa mengganggu orang lain. Seseorang yang bertanggungjawab mempunyai autonomi ke atas diri sendiri kerana ia memenuhi keperluan dan matlamat hidupnya.

Kaunselor perlu menolong klien sedar dan selepas itu menolong klien untuk meningkatkan tahap kesedaran itu. Setelah klien sedar tentang tingkah lakunya yang tidak berkesan untuk mengawal dunianya, ia akan lebih terbuka kepada alternatif cara untuk bertingkah laku. Oleh itu, terapi realiti lebih kepada mengajar klien cara yang lebih berkesan untuk menangani dunia (Corey, 1999). Asas utama terapi realiti adalah menolong klien menilai sama ada keperluannya realisitk dan sama ada tingkah lakunya dapat menolongnya.

Klien perlu membuat keputusan jika apa yang dilakukan tidak berkesan untuk memenuhi keperluannya. Dia juga perlu menentukan apakah perubahan-perubahan tingkah laku yang ia patut lakukan. Selepas membuat penilaian ini, ia akan dibantu oleh terapis untuk membuat perancangan untuk berubah.

Pelan Tindakan

Dalam sesi pertama ini, seperti kebiasaannya, kaunselor akan membina hubungan terlebih dahulu memandangkan ini adalah kali pertama klien berjumpa dengan kaunselor. Secara tidak langsung hubungan yang mesra nanti tidak menyebabkan klien kekok dalam meluahkan permasalahannya. Penerokaan dibuat selepas kaunselor yakin bahawa klien semakin mesra dan tidak takut-takut dan malu-malu.

Menurut Glasser (1992), prosedur ke arah perubahan adalah berdasarkan kepada andaian bahawa manusia dimotivasikan untuk berubah apabila:
1. ia yakin bahawa tingkah laku masa kininya tidak dapat menolongnya mendapatkan apa yangia kehendaki
2. ia percaya bahawa ia boleh memilih tingkah laku lain yang akan mendekatkannya kepada apa yang ia ingini.

Setelah perhubungan dapat dibina dengan baik, terapis realiti akan meneruskan prosedur yang dipraktikkan dalam terapi realiti:

W = Kehendak (meneroka kemahuan, keperluan dan persepsi)

Dalam penerokaan, dapat dikesan bahawa klien mempunyai masalah dengan rakan-rakannya di mana kebanyakannya menjauhkan diri daripadanya. Secara tidak langsung juga, klien rendah diri kerana fizikalnya yang agak kecil itu dan juga beranggapan ianya juga menyumbang kepada sebab rakan-rakannya yang menjauhkan diri. Daripada penerokaan itu juga, kaunselor dapat mengenalpasti klien yang merasakan kesunyiaan kerana tiada kawan yang rapat dan dia tiada sesiapa untuk dijadikan tempat rujukan jika menghadapi masalah dalam pelajarannya. Pada klien, setiap orang rakannya telah mempunyai kawan rapat, jadi dia tidak dapat untuk rapat dengan sesiapa pun kerana pasti akan menjadi persengketaan jika klien rapat dengan sesiapa yang telah mempunyai kawan rapat.

Daripada penerokaan itu juga, didapati klien juga mendapat layanan yang tidak adil di rumahnya, di mana ibunya sering menyebelahi abang keduanya kerana abangnya itu lebih bijak dan melebihi dalam semua perkara daripada adik beradik yang lain. Klien juga tidak rapat dengan ayahnya kerana ayahnya yang jarang berada di rumah kerana bertugas waktu pejabat dan juga ayahnya adalah seorang yang agak garang orangnya.

Dalam proses W ini, jelas klien mengkehendakkan dirinya diterima oleh rakan-rakannya sebagaimana mereka menerima orang lain, tetapi klien menyedari kekurangan diri yang menyebabkan klien agak kecewa dan berasa rendah diri.

D = Arah dan Lakukan

Terapi realiti menekankan tingkah laku masa kini dan juga mengambil kira peristiwa masa lalu hanya dari segi kaitannya bagaimana peirstiwa ini mempengaruhi klien bertingkah laku sekarang. Daripada sesi yang dijalankan, didapati klien mempunyai sikap rendah diri berpunca di rumah lagi di mana klien merasakan bahawa ibunya sering membeza-bezakan antara klien dengan abang keduanya. Selain daripada fizikalnya yang agak kecil dan dirinya yang kurang cemerlang dalam bidang akademik merupakan penyumbang kepada mengapa klien merasa rendah diri.

Dalam peringkat ini juga kaunselor menyoal klien tentang tindakan yang akan dilakukan berdasarkan situasinya ini dan juga arah tuju hidupnya selepas ini. Kaunselor juga menumpukan proses kepada mengubah keseluruhan tingkah laku masa kini, bukan sekadar sikap dan perasaan. Oleh itu, kaunselor menumpukan kepada tingkah laku klien kini iaitu sikap pengasingan yang diciptakannya berdasarkan sikap rendah diri klien. Kaunselor akan mencabar klien agar sikap yang dibinanya itu boleh diubah bagi menghasilkan identiti berjaya.

E = Penilaian

Dalam terapi realiti juga memfokuskan terapinya yang menyuruh klien membuat penilaian dengan bertanyakan soalan-soalan yang sesuai. Antara contoh soalan yang ditanyakan kaunselor kepada klien:

Kaunselor: Adakah Alin rasa dengan mengasingkan diri Alin macam ni, Alin
dapat apa yang Alin nak?

Kaunselor: Apa yang Alin buat sekarang ni boleh bantu Alin dapat kawan ke?

Adalah menjadi tugas kaunselor untuk mempersoalkan klien tentang kesan kepada tingkah lakunya dan mendapatkan klien menilai kutaliti tindakannya. Tanpa penilaian kendiri ini klien tidak akan berubah.

Kaunselor ada mencadangkan kepada klien secara terus apa yang boleh dibuat oleh klien seperti meminta klien menjaga penampilan diri sebagai langkah pertama untuk berubah. Setelah ia berkembang dan secara konsisten berinteraksi dengan kaunselor, ia mula belajar membuat penilaian dengan pertolongan yang kurang dari kaunselor (Wubbolding, 1994).

Klien juga dibawa melihat kelebihan diri kerana klien tidak menyedari beberapa kelebihan dirinya yang boleh dijadikan sumber untuk menarik minat rakan-rakannya untuk berkawan dengannya.

P = Perancangan dan Komitmen

Setelah klien menentukan apa yang ia inginkan sebagai langkah untuk berubah, klien sebenarnya sudah bersedia untuk meneroka kemungkinan tingkah laku dan merangka pelan tindakan. Dalam masalah ini, klien sudah bersedia untuk mengubah penampilan diri, akan cuba mengubah cara berkomunikasi dan akan ’mengeluarkan’ dirinya.

Sepanjang proses perancangan ini, klien sentiasa diingatkan agar mengambil tanggungjawab untuk pilihan dan tindakannya ini. Kaunselor tetapi mengingatkan klien bahawa tidak ada sesiapa di dalam dunia ini yang akan melakukan perkara untuknya atau menjalani kehidupan untuknya melainkan diri sendiri.

Klien juga dibimbing dengan kemahiran berkomunikasi agar pengetahuan ini dapat membantu klien berinteraksi dengan orang lain secara berkesan. Ini sangat menolong klien untuk bergaul dengan orang lain.

Rumusan

Dengan penggunaan terapi realiti ini, kes di atas dapat dikendalikan dengan baik. Kedatangan klien secara sukarela juga membantu menjayakan lagi sesi kaunseling individu ini. Terapi yang mengutamakan tingkah laku masa kini sememangnya menjurus kepada perubahan yang positif. Klien yang cepat mendapat celik akal juga membantu kepada perubahan diri yang positif.

Terapi ini memfokuskan kepada tingkah laku tidak kepada perasaan kerana terapi realiti percaya tingkah laku akan mempengaruhi perasaan. Ini jelas kerana apabila klien bertingkah laku seperti yang diinginkan, perasaannya juga akan turut dipengaruhi.


Kesimpulan

Sememangnya klien mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengubah tanggapan orang ramai terhadap perwatakannya itu dan tidak mahu menipu diri sendiri tentang perasaannya sekarang. Perasaan rendah diri dan disisihkan oleh rakan-rakan menimbulkan persepsi yang negatif terhadap diri klien sendiri dan mendatangkan masalah dalam beberapa perkara dalam rutin hariannya di asrama. Komitmen dan kesungguhan yang ditonjolkan itu merupakan petanda baik untuk kesejahteraan dirinya kelak kerana sanggup berkongsi masalah dengan saya bagi memperbaiki diri dengan sewajarnya.

Sememangnya keputusan yang diambil untuk berkongsi dengan saya sangat baik untuk meringankan bebanan yang ditanggungnya itu. Klien begitu mengharapkan beliau dapat menjalani kehidupan dengan baik dan selesa kerana beliau begitu yakin bahawa apa yang dilaluinya adalah suatu teladan dan pengajaran yang berguna untuknya di kemudian hari kelak.

Langkah untuk memperbaiki amalannya adalah menganggap ia sebagai suatu cabaran yang perlu ditempuhi untuk memperlihatkan ciri personaliti yang lebih matang dan berwibawa. Melaluinya sikap prihatin pada diri dapat meningkatkan motivasi dan komitmen yang berguna untuk diri sendiri bagi kesejahteraan bersama.

Melalui sesi yang dijalankan itu banyak mengajar klien tentang erti kesabaran, kesungguhan, yakin pada diri sendiri dan sentiasa berfikiran terbuka menerima kelemahan diri untuk meningkatkan lagi potensi dalam menjalani sesi kaunseling pada masa akan datang. Klien juga yakin bahawa setiap pengalaman yang dilalui akan lebih mematangkan diri klien untuk terus berjaya dalam bidang yang akan diceburinya kelak.

Bibliografi
Amir Awang. (1989). Teori-teori Pembelajaran. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Corey, G. (1999). Theory and Practice of Counseling and Psychology (6th ed.). Monterey, CA: Brooks, Cole

Glasser W. (1992). The Quality School: Managing Student with Coercion (2nd ed.). New York: Harper Collins

Wubbolding, R.E. (1994). The Early Years of Control Theory. Forerunners Marcus Auxelius & Robert Weiner. Journal of Reality, 13, 51-84


( Semoga teman-teman beroleh manafaat dari perkongsian ilmu ini )

Rozlan bin Othman
Penyelia Bimbingan dan Kaunseling
Unit HEM
Jabatan Pelajaran Perlis